Bekas Ketua-ketua Pemuda
Halaman Sejarah ini memaparkan perkembangan kepimpinan dan perjuangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sejak penubuhannya dan penterjemahkan isu dan cabaran tahun 2000 yang perlu ditangani.
Perkembangan yang berlaku dalam Pergerakan Pemuda untuk satu-satu tempoh telah dikenal pasti melalui kepemimpinan seseorang ketua berdasarkan peranan, gaya bertindak, ketokohan dan kewibawaan.
Semoga Halaman Sejarah ini akan dapat memberi gambaran yang jelas kepada orang-orang Melayu khasnya dan para pemimpin UMNO amnya tentang perjuangan Pergerakan Pemuda dalam memastikan ketuanan bangsa Melayu di tanah airnya sendiri terus berkekalan sehingga generasi akan datang.
Perjuangan dan perkembangan sejarah telah dibahagikan kepada enam era yang berlainan. Berikut adalah merupakan bab-bab dan isi kandungan di dalam Halaman Sejarah ini, seperti mana yang tercatat di dalam buku :
Pemuda UMNO:Kepemimpinan Perjuangan
1: Sejarah Awal Pergerakan Pemuda
- Latar Belakang Penubuhan UMNO
- Rancangan Penentangan Terhadap Malayan Union
- Penyatuan Orang-orang Melayu Melalui UMNO
- Penubuhan Pergerakan Pemuda
- Proses Pemilihan Pemimpin Pemuda
- Kepimpinan Awal Perikatan Pemuda
- Kapten Hussein Onn
- Dato’ Abdul Razak Bin Dato’ Hussain
- Merdeka Ganti Slogan Hidup Melayu
Latar Belakang Penubuhan UMNO
Pemerintahan British di Tanah Melayu sebelum Perang Dunia Kedua terbahagi kepada tiga corak pentadbiran iaitu Negeri-negeri Selat (Singapura, Melaka dan Pulau Pinang), Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan) dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu (Johor, Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis).
Negeri-negeri Selat diperintah secara langsung oleh British melalui seorang Gabenor British dan tarafnya adalah sebagai tanah jajahan British. Pentadbiran British di Negeri-negeri Melayu Bersekutu terletak di bawah seorang Pesuruhjaya British yang berpusat di Kuala Lumpur dan di setiap negeri tersebut dilantik seorang Residen British.
Di Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu pula, pihak British telah melantik seorang wakilnya yang dipanggil Penasihat British.
Kedatangan semula pihak British ke Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua telah membawa satu corak pemerintahan baru yang bertujuan untuk menyatukan semua negeri-negeri Melayu kecuali Singapura di bawah satu pemerintahan pusat yang diperintah terus oleh seorang Gabenor British.
Gagasan Pentadbiran baru yang dirancang oleh pihak British itu dinamakan Malayan Union. Gagasan ini telah dirancang sebelum Perang Dunia Kedua lagi.
Bagi menjayakan gagasan tersebut sebuah jawatankuasa yang diketuai oleh Sir Edward Gent’ telah diarahkan oleh pihak British untuk membentuk dasar-dasar yang akan dilaksanakan di Tanah Melayu apabila pihak British kembali semula.
Jawatankuasa tersebut telah merangka satu dasar yang telah dipersetujui oleh kerajaan British untuk dilaksanakan. Antara rangka-rangka utama yang dibuat oleh Jawatankuasa tersebut adalah:
1. Sebuah kesatuan bernama Malayan Union untuk keseluruhan Semenanjung Tanah Melayu termasuk
Melaka dan Pulau Pinang.
2. Kerajaan berasingan bagi Singapura.
3. Seorang Gabenor-Jeneral bagi kedua-dua Malayan Union dan Singapura.
4. Kewarganegaraan serupa bagi kedua-dua Malayan Union dan Singapura.
Di dalam rancangan Malayan Union, Singapura akan dipisahkan pentadbirannya daripada negeri-negeri Tanah Melayu yang lain. Alasan pihak British untuk mengasingkan Singapura ini adalah disebabkan kedudukan Singapura sebagai pusat perniagaan seberang laut yang maju dan merupakan sebuah bandar yang besar serta mempunyai penduduk Cina yang ramai. Keadaan ini berlainan dengan negeri-negeri lain di Tanah Melayu. Walau apa pun alasan yang diberikan oleh pihak British, apa yang nyata ialah Singapura mempunyai kedudukan ekonomi yang baik dan menguntungkan British. British bertanggapan adalah amat merugikan untuk menyatukan Singapura dengan negeri-negeri lain di Tanah Melayu.
Antara perkara-perkara utama yang menimbulkan kemarahan orang-orang Melayu melalui rancangan Malayan Union ialah mengenai hak keistimewaan orang-orang Melayu serta penukaran taraf Negeri-negeri Melayu. Apa yang menimbulkan kontroversi itu ialah penukaran dari negeri-negeri naungan British sebelum ini kepada negeri-negeri jajahan British. Melalui rancangan ini semua anggota Majlis yang ada dalam rancangan Malayan Union hendaklah menyatakan taat setianya kepada Ratu Inggeris dan bukan lagi kepada raja-raja Melayu.
Malayan Union akan diperintah oleh seorang Gabenor dengan Majlis Mesyuarat Kerja (Executive Committee) dan sebuah Majlis Mesyuarat Negeri. Melalui rancangan ini, Gabenor mempunyai kuasa yang besar dan kuasa muktamad terhadap sesuatu hal pentadbiran di Tanah Melayu dan Singapura. Kuasa yang ada pada Gabenor ini adalah lebih besar daripada kuasa Raja-raja Melayu itu sendiri.
Mengenai kerakyatan, mereka yang berhak adalah terdiri daripada mereka yang dilahirkan di dalam negeri-negeri Malayan Union dan Singapura. Rakyat yang telah bermastautin di kedua-dua negeri tersebut juga layak untuk mendapat hak kerakyatan dengan syarat mereka telah menetap di Tanah Melayu atau Singapura selama 10 tahun daripada 15 tahun masa penjajahan British, tidak termasuk masa penjajahan Jepun.
Kerajaan British terpaksa mendapatkan tandatangan daripada Raja-raja Melayu sebagai persetujuan dan sokongan terhadap rancangan ini. Melalui Setiausaha Tanah Jajahan, Kerajaan Bersekutu telah menghantar Sir Harold Mac Michael untuk melaksanakan tugas mendapatkan tandatangan tersebut.
Dengan kepintaran melakukan tipu helah dan membuat ugutan-ugutan kepada beberapa orang Raja-raja Melayu, akhirnya Mac Michael telah berjaya mendapatkan kesemua tandatangan Raja-raja Melayu pada 2 Disember 1945. Walaupun pihak Raja-raja Melayu keberatan untuk menandatangani perjanjian tersebut tetapi mereka terpaksa menurut demi untuk menjaga kepentingan mereka. Mac Michael telah mengugut akan menurunkan takhta Raja-raja Melayu yang enggan menandatangani perjanjian tersebut dan menggantikan mereka dengan kerabat di raja yang bersetuju untuk menurunkan tandatangan mereka.
2: Era Kepimpinan Pergerakan Pemuda 1951-1970
- Pergerakan Pemuda Di Bawah Pimpinan Sardon Jubir
- Peringkat Awal Kepimpinannya
- Kemerdekaan Tanah Melayu
- Pembentukan Malaysia – Konfrontasi Malaysia dan Indonesia
- Senu Meneruskan Perjuangan Pemuda
- Pemisahan Singapura Daripada Malaysia
- Pemuda Tahan Lasak dan Revolusi Mental
Era Kepemimpinan Pergerakan Pemuda 1951 – 1970
Era ini akan memberikan tumpuan kepada perkembangan Pergerakan Pemuda pada awal 1950an sehingga akhir 1960an. Dalam tempoh ini Pemuda diterajui oleh dua orang tokoh yang sama-sama berjuang menubuhkan UMNO. Mereka ialah Tun Sardon Jubir dan Tan Sri Senu Abdul Rahman.
Sepanjang hampir 20 tahun ini, akan dapat dilihat bagaimana kedua -dua tokoh ini memajukan Pergerakan tersebut dan menggerakkannya untuk menghadapi serta mengatasi cabaran-cabaran yang dihadapi oleh UMNO dan Parti Perikatan untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu dan mengisi kemerdekaan tersebut. Dalam era ini akan memperlihatkan Pemuda menjadi tenaga penggerak dan benteng utama kepada UMNO untuk menghadapi musuh-musuhnya.
Jika semasa awal penubuhannya sehingga akhir 1950, Pergerakan Pemuda seolah-olah tidak berperanan dan hanya menurut tanpa bertindak akan apa yang diputuskan oleh pucuk pimpinan parti tetapi dalam era ini mereka telah berani mendesak dan mengkritik pucuk pimpinan parti dan kerajaan walaupun ianya dilakukan secara tidak terang-terangan.
Walau bagaimanapun semangat yang berkobar-kobar golongan Pemuda yang kadangkala mendahului badan induknya dalam memperjuangkan sesuatu isu telah dapat diredakan oleh Tun Sardon Jubir dan Tan Sri Senu Abdul Rahman.
Mereka telah berjaya mengelakkan berlakunya pertentangan dan perbalahan secara terbuka di antara Pemuda dan badan induknya melalui keakraban mereka dengan pucuk pimpinan terutamanya Tunku Abdul Rahman.
Di bawah Tun Sardon Jubir, Pemuda telah meneruskan perjuangannya dalam pelbagai aspek terutama dalam soal soal-soal politik. Keadaan ini wujud kerana situasi ketika itu memaksa Pergerakan itu melibatkan diri secara aktif di dalam perkembangan politik tanah air.
Ketika berada di bawah teraju pimpinan Tan Sri Senu Abdul Rahman pula kita akan dapat melihat bagaimana Pemuda menerokai bidang-bidang baru bagi meluaskan fungsinya serta penglibatannya dalam menghadapi pemisahan Malaysia-Singapura dan peristiwa 13 Mei 1969.
Beliau juga telah berjaya menubuhkan Pasukan Tahan Lasak Pemuda untuk menghadapi musuh-musuh politik. Dalam perkembangan lain, Pemuda telah pun melibatkan pergerakan mereka dalam soal -soal kemasyarakatan, sukan, ekonomi dan sebagainya. Tan Sri Senu Abdul Rahman juga telah menubuhkan gerakan Revolusi Mental bagi membantu golongan muda untuk menghadapi cabaran-cabaran yang semakin pesat.
Sepanjang kepimpinan mereka, kedua-dua tokoh ini telah berjaya menjalankan falsafah utama Pemuda iaitu mempertahankan UMNO dan menjadikannya tulang belakang parti dari ancaman musuh-musuhnya, bersesuaian dengan matlamat penubuhannya.
Di samping itu juga mereka telah berjaya menanamkan taat setia kepada pucuk pimpinan parti. Ini menjadikan keduanya amat popular dan berjaya menjadi Ketua Pemuda dalam jangka masa yang lama tanpa tentangan daripada ahli-ahli.
3: Era Kepimpinan Pergerakan Pemuda 1971-1982
- Generasi Baru Menerajui Pemuda
- Datuk Harun Dengan Era Baru Pemuda
- Peranan Pemuda Dalam Dasar Ekonomi Baru
- Pemecatan Datuk Harun: Reaksi Pemuda
- Syed Jaafar Albar (Singa UMNO)
- Ginger Group Sebagai Jambatan Parti
- Datuk Haji Suhaimi Kamaruddin
- Era Bertindak Pemuda
UMNO yang merupakan parti yang dianggotai oleh majoriti orang-orang melayu, telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan matlamat yang dirancangkannya tercapai.
Bab ini akan membincangkan bagaimana Pemuda yang dipimpin oleh tiga tokoh iaitu Dato’ Harun Idris, Tan Sri Syed Jaafar Albar dan Dato’ Suhaimi Kamaruddin telah memainkan peranan penting bagi menjayakan dasar tersebut.
Dalam jangka waktu ini ia telah menjadi sebuah Pergerakan yang kuat serta ditakuti oleh pihak pembangkang dan pihak-pihak yang tertentu sama ada di dalam kerajaan, swasta atau parti UMNO sendiri, terutamanya ketika Pemuda di bawah pimpinan Dato’ Harun Idris. Segala usaha untuk menggagalkan perlaksanaan DEB akan menerima teguran serta tindakan daripada Pemuda.
Perkara kedua yang berlaku di dalam era ini hinggakan ianya menjadi satu sejarah dalam politik tanah air ialah apabila Dato’ Harun Idris yang menjadi Ketua Pergerakan Pemuda telah dipecat daripada UMNO dan telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah.
4: Kegemilangan Datuk Seri Anwar Ibrahim
- Anwar Ibrahim: Pembawa Perubahan
- Perjuangan Menerapkan Nilai-nilai Islam
- Generasi Penggerak Zaman
- Cabaran Serta Rintangan Pemuda Era Anwar Ibrahim
Sepanjang tahun-tahun 70an, Pergerakan Pemuda yang dipimpin oleh Datuk Harun, Syed Jaafar Albar dan Datuk Suhaimi telah berjaya mencapai beberapa kemajuan dan kejayaan. Perkembangan baru yang berlaku pada Pemuda di dalam era ini ialah dari segi peranannya.
Jika sebelum ini ianya hanya merupakan benteng kepada badan induknya tetapi bermula daripada kepemimpinan Datuk Harun, Pemuda telah muncul sebagai tenaga pendesak yang lantang terhadap kerajaan, pihak swasta termasuk badan induknya sendiri UMNO.
Perubahan peranan serta corak bertindak yang berlaku di dalam era ini adalah disebabkan oleh keadaan pada ketika itu yang mengehendaki soal ekonomi Melayu diperjuangkan. Pemuda telah berjaya menjadi pembela kepada rakyat terutamanya orang-orang Melayu untuk memastikan perlaksanaan DEB akan mencapai matlamatnya.
Selain daripada itu, dalam soal keselamatan negara, Pemuda di bawah kepimpinan Syed Jaafar Albar telah berjaya membongkar kegiatan beberapa orang pemimpin UMNO yang terlibat dengan fahaman komunis.
Golongan yang berjaya mengheret Datuk Harun agar tidak disukai oleh pucuk pimpinan parti ini akhirnya telah tertangkap. Kejayaan ini telah berjaya menyelamatkan UMNO daripada menjadi alat penyebaran ideologi pihak komunis dan berjaya menyelamatkan negara daripada mengalami kehancuran.
Bermula dari era inilah golongan muda di dalam UMNO telah diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan parti untuk memegang beberapa jawatan penting di dalam kerajaan. Perkembangan ini menunjukkan bahawa pemimpin-pemimpin Pemuda telah berjaya menjalank
5: Kecemerlangan Datuk Seri Najib Tun Razak
- Datuk Seri Najib Pemangku Ketua Pergerakan
- Pemuda Berakar Teguh Berakal Canggih
- Persediaan Pemimpin Penerus
Datuk Seri Najib Pemangku Ketua Pergerakan
Datuk Seri Najib dilantik sebagai Pemangku Ketua Pemuda pada 24 April 1987 bagi menggantikan Anwar Ibrahim. Pelantikan ini diumumkan sendiri oleh Anwar dalam Perhimpunan Agung Pergerakan pada tahun tersebut, berikutan desakan agar Anwar bertanding merebut jawatan Naib Presiden UMNO. Dengan pengesahan jawatannya itu, Datuk Seri Najib telah mencatatkan satu sejarah dalam Pemuda dan sejarah keluarganya kerana pada 1951, jawatan Ketua Pemuda yang dipangkunya itu pernah disandang oleh bapanya Tun Haji Abdul Razak.
Sebelum memangku jawatan Ketua Pemuda ini, beliau telah memegang jawatan Naib Ketua bagi tiga penggal berturut-turut, satu penggal di bawah Datuk Suhaimi Kamaruddin dan dua penggal di bawah Anwar.
Gambaran pelantikan Datuk Seri Najib sebagai Pemangku yang diumumkan oleh Anwar pada upacara berkenaan begitu menarik perhatian. Dalam buku Dilema Pemuda Melayu ‘Kemelut’ karangan Kamal Amir dicatatkan babak-babak menarik:
“… Masih saya ingat lagi suasana muram yang menyelubungi seluruh perwakilan dari 144 bahagian Pergerakan Pemuda UMNO sewaktu saudara Anwar Ibrahim menyatakan pendiriannya untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Pemuda Pergerakan Pemuda UMNO.
Malahan Saudara Nazri Tan Sri Aziz Yeop yang menjadi salah seorang Exco Pergerakan tersebut terpaksa tunduk menahan sebak di dada, dan dari jauh lagi terlihat linangan air matanya menandakan kesedihan yang teramat sangat kerana terpaksa berpisah dengan Saudara Anwar Ibrahim.”
Penulis ini menambah :
“… Sementara itu Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian Seputeh, Saudara Tengku Adnan Tengku Mansur, berkali-kali melahirkan kata-kata dalam sendu yang tertahan-tahan, “… teramat sedih rasanya suasana Perhimpunan Pemuda hari ini. Malahan terasa sayu pula saya bila melihat kemuraman yang terpancar di wajah ahli-ahli Perwakilan Pemuda. Amat sedih…”kata nya berulang kali.”
Gambaran yang diberikan oleh penulis ini secara tidak langsung memberi pelbagai tafsiran. Adakah Anwar masih diperlukan di peringkat Pemuda dan mampukah penggantinya Datuk Seri Najib mengekori stail kepimpinan Anwar ini? Ini dapat dibuktikan apabila penulis itu menambah:
“… Pada peringkat awalnya begitu ramai para pemimpin peringkat bahagian Pergerakan Pemuda UMNO yang merasakan bahawa ketiadaan Saudara Anwar Ibrahim nanti Pergerakan Pemuda bakal mengalami hari- hari yang sunyi dan sepi dari kelantangan Saudara Anwar membawakan isu-isu demi kepentingan umat Melayu di bumi Melayu.”
Bukan sekadar itu sahaja, malahan ada pula yang lebih berani membuat ramalan kononnya taring Pemuda akan ketandusan, suara Pemuda juga akan tentulah tidak selantang di era Saudara Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun pandangan penulis ini disanggah sendiri oleh beberapa tokoh Ketua Pemuda. Ketua Pemuda Bahagian Seputeh, Datuk Tengku Adnan menekankan bahawa Datuk Seri Najib juga mempunyai karisma kepemimpinannya sendiri. Malahan bekas Ketua Pemuda Lembah Pantai, Dr Samaruddin Rejab dan Ketua Pemuda Bahagian Bagan Datok, Ahmad Zahid Hamidi begitu yakin dengan kualiti dan kepemimpinan yang ada pada Datuk Seri Najib.
Era Datuk Seri Najib sebagai Pemangku Ketua Pergerakan Pemuda menyaksikan pergolakan yang hebat berlaku ke atas parti induknya. Sejarah hitam telah tercatat dalam arena politik tanah apabila UMNO berpecah kepada dua kumpulan. Kumpulan Dr Mahathir-Ghafar telah bersaing dengan kumpulan Tengku Razaleigh Hamzah-Datuk Musa Hitam dalam pertandingan merebut jawatan-jawatan penting parti dalam Persidangan Agung UMNO pada 24 April 1987 yang menyaksikan kekalahan kepada kumpulan Tengku Razaleigh dan Datuk Musa Hitam.
Dalam pergolakan kuasa dua kumpulan ini, Datuk Seri Najib telah tidak menjelaskan pendiriannya secara nyata di peringkat awalnya sebaliknya memberi ketegasan apabila melihat kewibawaan Datuk Seri Dr Mahathir yang semakin terserlah walaupun diuji begitu kuat sekali. Datuk Seri Najib bukanlah seorang yang suka memperlihatkan reaksi kepada sebarang spekulasi mengenai dirinya. Oleh sebab itu jarang sekali beliau mengesah atau menafikan berita-berita yang dikaitkan dengan dirinya.
Beliau di sini dilihat sebagai seorang yang berstrategi dan mempunyai kematangan dalam berpolitik. Walaupun pelbagai tohmahan dan tuduhan dilemparkan terhadapnya, Datuk Seri Najib terus yakin dengan pendiriannya. Dalam sejarah kepemimpinannya sama ada politik atau kerajaan, beliau tidak pernah menimbulkan kontroversi melainkan diganggu-gugat nasib bangsanya. Wataknya yang tenang dan lembut, ideologinya yang agak konservatif dan kebangsawanan dan tabiinya yang tidak begitu mendominasi tidak memungkinkan beliau terlalu agresif untuk menyokong mana-mana belah pihak.
Pada waktu tersebut, tingkah laku yang diperlihatkan oleh Datuk Seri Najib ini menyebabkan beliau dianggap rendah (under-estimate) oleh kawan dan lawannya. Akan tetapi di sinilah sebenarnya terletak kekuatan dan kebijaksanaan beliau.
Sebagai seorang yang konservatif, bangsawan dan orang dalam kerana sejak kecilnya hidup dalam keluarga pemimpin utama UMNO, Tun Abdul Razak; personaliti beliau teradun secara harmoni dalam budaya dan tradisi UMNO. Gaya dan ciri kepemimpinan beliau adalah gaya dan ciri tradisi UMNO. Berbanding dengan lain-lain tokoh muda dalam UMNO ketika itu, beliau dikatakan lebih disenangi oleh kebanyakan pemimpin veteran UMNO.
Mengenai ketokohannya dalam peringkat ini, ia sendiri turut disuarakan oleh Menteri Penerangan, Datuk Mohamed Rahmat. Dalam satu majlis makan malam atas nama Mingguan Perpaduan dan Kebudayaan Malaysia – Libya pada 6 April 1988, Datuk Mohamed Rahmat yang juga sebagai Setiausaha Agung UMNO berkata:
“…. Saya kira nasib Najib masih baik dan peluangnya masih ada di samping ketokohan pada diri dan gambaran wajahnya masih belum pudar lagi.”
Kata-kata Menteri Penerangan ini telah mendapat tepukan gemuruh dari para hadirin, di celah-celah tepukan itu kedengaran juga tempikan dan laungan Hidup Najib.
Bagaimanapun kemenangan Datuk Seri Dr Mahathir – Ghafar telah tidak diakui oleh sebilangan kecil anggota UMNO. Sebelas orang anggota UMNO yang dikenali Geng 11 yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang diperolehi telah membawa perkara tersebut ke mahkamah. Mereka mendakwa keputusan pemilihan pada 24 April 1987 sebagai tidak sah kerana ada cawangan UMNO yang tidak berdaftar telah mengundi dalam pemilihan tersebut.
Akibat daripada tindakan mereka itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengisytiharkan UMNO adalah sebuah pertubuhan yang tidak sah kerana telah melanggar Akta Pertubuhan. Dengan pengharaman UMNO seperti yang diisytiharkan oleh Hakim Datuk Harun Hashim, Pemuda yang menjadi sayap kanan kepada parti induknya turut terkubur.
Pengharaman ini juga bermakna secara automatik semua anggota Exco Pemuda kehilangan jawatan mereka. Bagaimanapun 21 Mei 1988 merupakan tarikh keramat bagi Datuk Seri Najib apabila beliau dilantik sebagai Ketua Pergerakan Pemuda selepas parti itu didaftar pada Februari 1988.
Pelantikan beliau juga mencatatkan sejarah baru UMNO apabila pelantikan Ketua Pergerakan Pemuda dan Ketua Pergerakan Wanita adalah diputuskan oleh Presiden dan Majlis Tertingginya.
Sedangkan pada tahun-tahun sebelumnya, jawatan Ketua Pemuda adalah dipilih melalui pemilihan. Bagaimanapun dengan pelantikan ini, tamatlah spekulasi tentang siapakah yang bakal mengisi kekosongan kerusi Ketua Pergerakan Pemuda ini.
Sebaik sahaja dirinya dilantik ke jawatan tersebut, visi dan matlamat yang mahu dibawa oleh Datuk Seri Najib semakin terserlah.
Beliau telah menggariskan tiga program untuk membantu mengemaskinikan dasar dan jentera pentadbiran UMNO. Tiga program tersebut adalah : Pertama, penyusunan semula Pergerakan Pemuda yang melibatkan peringkat kebangsaan, negeri dan bahagian.
Kedua, menggerakkan jentera Pemuda untuk memberikan penjelasan tentang UMNO bagi tujuan membetulkan gambaran yang kadangkala dikelirukan oleh sesetengah pihak. Dan ketiga, menganjur dan mengadakan kursus-kursus tertentu bagi melengkapkan lagi pengetahuan, semangat dan kemampuan ahli-ahli Pemuda untuk terus berjuang dengan lebih berkesan.
Menghuraikan dasar-dasar yang akan diperahinya dalam memimpin Pemuda, Datuk Seri Najib menjelaskan bahawa Pergerakan Pemuda di bawah kepemimpinannya akan memperjuangkan konsep yang menyeluruh secara total. Islam sebagai asas dan punca kekuatan Pemuda akan dijadikan ideologi dalam apa jua program yang akan dilaksanakan.
Menurutnya, agama Islam merupakan agama yang dapat memandu umatnya dalam segenap aspek termasuk hubungan kenegaraan, hubungan kemasyarakatan, hubungan sosial, peribadi mahupun tanggungjawab umat dari sudut Fardu Ain kepada Allah SWT. Datuk Seri Najib tidak mahu melihat Islam sebagai satu ritual sebaliknya merangkumi segenap aspek kehidupan masyarakat termasuk kepada golongan bukan Islam.
Dalam politik bangsa Melayu, Datuk Seri Najib meletakkan perpaduan bangsa sebagai satu keutamaan. Beliau mahukan perpaduan yang mantap di kalangan umat Melayu agar mereka dapat bekerjasama untuk terus membangunkan bangsa dan negara.
Dalam satu persidangan akhbar pada Mei 1988, beliau menegaskan bahawa kepemimpinan Pemuda seharusnya melihat masalah perpecahan dan kemiskinan masyarakat Melayu sebagai dua gejala yang boleh meleburkan ketahanan masyarakat selepas tahun 1990. Menurut beliau masyarakat Melayu tidak mampu lagi untuk berpecah kerana jika terus berlaku perpecahan, generasi muda hari ini dan akan datang akan merasai akibatnya.
Beliau tidak mahu Pemuda memainkan peranan sebagai golongan pendesak kerana yang penting ialah kemampuan untuk mengembalikan kestabilan dan perpaduan masyarakat. Datuk Seri Najib melihat perpecahan akan menyebabkan bangsa Melayu terus merempat di negara sendiri dan semakin dilemahkan oleh golongan tertentu yang menunggu peluang untuk berkuasa. Tindakan beliau ini ada kebenarannya.
Masih ramai lagi bangsa Melayu yang miskin terutamanya penyokong kuat UMNO di luar bandar. Menurut statistik, purata 160,000 keluarga Melayu adalah tergolong dalam kategori miskin, khususnya di laur bandar yang mempunyai pendapatan kira-kira RM 175 sebulan. Ekoran itu, Datuk Seri Najib mahu Pemuda melihat kemiskinan sebagai antara isu yang diperjuangkan dan bukan sekadar menjadi pendesak semata-mata.
Pada tahun yang sama ketika diminta mengulas mengenai Team A dan Team B yang belum diketahui keberkesanan perpaduannya, beliau menegaskan semua ahli dan pemimpin-pemimpin politik perlu bersikap jujur sejujurnya bila bercakap mengenai perpaduan dan mengetepikan sentimen emosi dan rasa marah supaya perpaduan dalam parti akan berhasil.
Melalui tindakan dan sikapnya ini, darah Allahyarham Tun Abdul Razak terus mengalir di dalam dirinya. Dalam Perhimpunan Agung UMNO ke 24 pada 30 Jun 1976, Allahyarham juga menekan betapa pentingnya perpaduan ahli-ahli UMNO. Antara lain Allahyarham menyebut:
“… Saya suka terus terang, jika parti kita sentiasa sanggup menjadi PEMEGANG AMANAH RAKYAT DENGAN IKHLAS, saya tidak bimbang akan cabaran dari pihak lain. Tetapi jika kita tidak ikhlas dalam menjalankan peranan kita sebagai pemegang amanah rakyat, sifat itu dengan sendirinya akan menghancurkan kita.
Sebaliknya jika ahli-ahli menjadi pemegang amanah rakyat secara ikhlas, tetapi pertubuhan tidak mempunyai pemimpin-pemimpin yang ikhlas, kekuatan kita akan menjadi pentas pergelutan kuasa sesama sendiri dan ini akan merugikan kita.”
Sebagai pemimpin yang ikhlas dalam perjuangan, Datuk Seri Najib seolah-olah mahu membawa mandat dari Allahyarham bapanya dalam memperjuangkan perpaduan. Oleh itu, tidak menghairankan apabila beliau antara beberapa orang Menteri Penuh yang memujuk Timbalan Menteri, Datuk Musa Hitam di London agar tidak meletakkan jawatan sebagai pemimpin kerajaan dan UMNO. Beliau telah membuktikan keikhlasannya mengenai perpaduan bukan sekadar omelan kosong sebaliknya dihayati dan dipraktikkan sekali walaupun tindakan memujuk itu dijadikan propaganda oleh sesetengah anggota UMNO.
Beliau juga dengan berani mengulas mengenai perlaksanaan resolusi Perhimpunan Melayu Johor (PMJ) yang diadakan pada Januari 1989 di negeri Johor.
Resolusi Johor ini dianggap penting kerana menggabungkan 50 pertubuhan Melayu Johor dan menyebabkan sokongan UMNO di negeri berkenaan semakin bertambah. Dalam satu ceramah politik di Batu Pahat pada Februari 1989, Datuk Seri Najib yakin resolusi ini dapat memulihkan perpaduan di Johor kerana semua bekas ahli UMNO diterima keahliannya secara automatik dan berharap menjadi contoh kepada umat Melayu Pulau Pinang.
Bagaimanapun dengan lantangnya beliau menegaskan perlaksanaan resolusi ini untuk memulihkan perpaduan umat Melayu Johor diharapkan tidak mengorbankan pemimpin UMNO yang telah memulihkan kegiatan parti itu di seluruh Johor. Menurut beliau lagi, orang Melayu Johor perlu berterima kasih kepada pemimpin yang sanggup memulihkan semula kegiatan parti itu di bahagian-bahagian walaupun menghadapi cabaran sengit dari kumpulan Semangat 46.
Hasrat perpaduan yang dicita-citakan itu mengimbau sehingga melewati sempadan daerah dan negara. Pada zamannya juga diwujudkan Dialog Malindo – satu perbincangan khusus antara Pemuda Malaysia dan Indonesia. Dialog Malindo Pertama diadakan pada 15 – 18 April 1988 di Melaka dan Dialog Malindo Kedua di Bogor, Indonesia pada 17 – 19 Januari 1990.
Dalam ucapannya di Bogor itu, beliau menegaskan perlunya dilakukan dialog berterusan agar kedua-dua golongan pemuda dapat mengenali dan memahami secara lebih dekat dan lebih mendalam antara satu sama lain.
Beliau mengharapkan usaha dialog ini secara langsung menutup jurang historical perspective dari kedua generasi muda negara terbabit. Hubungan antara Malaysia dan Indonesia tidak diharapkan selamanya emosional melainkan dilandaskan pada kerjasama erat dan mantap.
Datuk Seri Najib yakin berdasarkan hubungan erat yang telah terjalin, pemudanya dapat membangunkan kerjasama dalam keadaan nyata. Hubungan kedua negara ini perlu secara istimewa dibangunkan dan dikembangkan secara bersama. Hal ini akan mendorong dua kumpulan pemuda ini untuk menterjemah dan mewujudkan premis pokok dalam tindakan yang nyata yang dapat dan mampu menjamin keamanan dan kesejahteraan kawasan serta masyarakat kedua bangsa khususnya dan Asia Tenggara pada umumnya.
Dalam perjuangan bersama Pergerakan Pemuda, ada pihak tertentu yang mahukan beliau mempunyai identiti sendiri seperti mana terdapat dalam Ketua Pergerakan Pemuda sebelumnya.
Apabila Datuk Suhaimi Kamaruddin mengambil alih jawatan itu, Timbalan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos ini mula melaungkan Pemuda Era Bertindak. Di bawah Anwar Ibrahim identiti Pemuda semakin terserlah. Kebangkitan Islam mula dirasakan dan penekanan keilmuan terus dipertegaskan. Pada zaman ini kebolehan dan kewibawaan Anwar Ibrahim diperakui oleh pelbagai pihak sehingga ada penulis yang membuat kajian menulis:
“… Selain daripada kecerdasan yang tinggi, kebolehan asas dan kemahiran aptitud dan potensi dalam bidang tertentu, pemimpin dalam situasi di mana krisis mungkin berlaku memerlukan reaksi mental yang cekap. Kebolehan ini ada pada Anwar Ibrahim.”
Bagaimanapun selepas setahun Datuk Seri Najib mengetuai Pergerakan Pemuda, identiti dan arah perjuangannya menjadi semakin nyata. Pada peringkat awal, Pemuda menampakkan tindakan mereka sebagai kumpulan pendesak untuk kepentingan umat Melayu dan Islam. Malah beliau sendiri mengakui hakikat ini seperti dalam ceramah dialog Malindo 1 di antara Pemuda Malaysia-Indonesia di mana antara lain beliau menyebut:
“… Sejak zaman permulaan kemerdekaan, Pemuda bergerak sebagai sayap parti di dalam UMNO. Pemuda merupakan satu kumpulan yang mempunyai struktur dan identiti yang formal di bawah naungan parti induk UMNO.
Begitu banyak slogan yang telah diberikan kepada Pemuda UMNO, di antaranya Pemuda sebagai Presure Group, Pemuda sebagai kumpulan Tahan Lasak, Pemuda sebagai Ginger Group ataupun Kumpulan Halia. Apa jua nama yang diberikan kepada Pemuda UMNO, maksud dan intipatinya tidak lari dari landasan untuk berjuang dengan tegas dan lantang demi kemenangan nasionalisme dan cita rasa bangsa Melayu kita.”
Peranan dan identiti Pergerakan Pemuda UMNO di bawah kepimpinannya semakin diperjelaskan apabila beliau berceramah dalam Dialog Malindo II di Bagor, Indonesia, pada 18 Januari 1990.
Datuk Seri Najib menekankan perlunya hubungan baik antara golongan muda dan tua dalam pembangunan negara yang mencakupi juga pelbagai aspek kehidupan. Era mendesak dikurangkan dan diganti dengan pengisian kecemerlangan ke arah pembentukan Melayu gemilang. Antara lain dalam ucapannya ini beliau menyebut:
“… Mengenai masalah kepemudaan, masa sekarang ini di pemerintahan Malaysia terjadi gabungan antara golongan tua dan muda,”
Sebagai ketua Pergerakan Pemuda yang sanggup lakukan apa saja untuk kepentingan bangsanya, pendirian Datuk Seri Najib terhadap bangsa Melayu dan Islam begitu kuat sekali. Tidak ada siapa yang berani menggangu-gugat. Sungguhpun dia kelihatan seperti seorang tokoh yang mesra dan mudah bertolak ansur tetapi dalam isu memperjuangkan nasib bangsa, pendiriannya tetap kukuh menentang segala musuh yang cuba mempertikaikan kewibawaan kepemimpinan Melayu.
Beliau mahu melihat hubungan bangsa Melayu dengan the national accumulated debt to the Malays dijadikan sebagai perjuangan nasional yang penting pada masa akan datang. Berdasarkan faktor kemiskinan dan tekanan yang dihadapi oleh bangsa Melayu, maka usaha meletakkan bangsa Melayu di tempat yang tinggi dan sewajarnya amat ditekankan oleh beliau. Bagi Datuk Seri Najib, Pemuda mestilah menjurus kepada falsafah bahawa bangsa Melayu mestilah kekal sebagai bangsa dominan di dalam pemerintahan tanah. Dan konsep Melayu dominan inilah yang diperjuangkan oleh Pemuda hari ini dengan mengambil kira fleksibiliti dari segi pendekatannya.
Faktor ini telah ditegaskan oleh beliau sendiri dalam Dialog Malindo I. Beliau telah menyebut :
“…Dalam soal pokok, dalam soal politik, di mana kita hendak menentukan kekalnya Malay dominance ini, bagi Pemuda tidak ada compromise, tidak ada tolak ansur. Hal ini adalah amat penting di tegaskan, kerana sesuai dengan sejarah bahawa Melayu adalah ‘ the definitive race’ dalam konteks kita sebagai bangsa induk. Melayu adalah merupakan bangsa peribumi. Justeru itu politik Malay dominance tidak mempunyai ruang untuk compromise. Sebaliknya kita harus menterjemahkan konsep ini dari perspektif politik ke bidang-bidang lain.”
Dalam menyatakan pendirian ini, Datuk Seri Najib mahukan konsep ini bukan sahaja diterjemahkan dalam politik semata-mata tetapi juga dalam bidang sosial dan ekonomi. Apa yang beliau maksudkan adalah keadilan ataupun social equality ataupun social justice sebagai inti dalam politik dominan Melayu yang mesti diperjuangkan dalam Pemuda. Beliau melihat aspek ini masih belum tercapai dan memerlukan masa yang panjang untuk memenuhi hasrat tersebut. Di samping itu beliau menegaskan bahawa dominan politik Melayu harus diasaskan kepada kedaulatan bangsa Melayu dalam keadaan yang sebenarnya dan tidak boleh berganjak sama sekali daripada konsep yang terkandung dalam induknya.
Pendirian tidak bertolak ansur menentang golongan yang mempertikaikan dominan politik Melayu mula ditunjukkan apabila beberapa orang pemimpin MCA, iaitu rakan UMNO dalam Barisan Nasional mengambil kesempatan dengan menimbulkan perkara sensitif yang boleh menyebabkan berlakunya rusuhan kaum. Melalui satu seminar yang dianjurkan oleh MCA, Datuk Kok Wee Kiat telah menyatakan MCA dan pucuk pimpinannya harus mencari jalan supaya formula sebelum merdeka dikaji semula dalam aspek pembahagian hak keistimewaan di sektor ekonomi di kalangan sesama rakyat negara ini. Timbalan Presiden MCA, Datuk Lee Kim Sai pula cuba membangkitkan persoalan mengenai beberapa hak istimewa orang Melayu. Isu berkenaan telah menjadi tumpuan umum dan yang menggemparkan ialah tuntutan pengguguran istilah Bumiputera kepada orang Melayu dan bangsa asing kepada yang bukan Melayu.
Selain isu peribumi itu, MCA Selangor pula telah meluluskan ketetapan yang dianggap mempersoalkan kedudukan Raja-raja Melayu. Isu-isu ini telah diperhangatkan dengan isu perkauman yang lain seperti pelantikan guru-guru besar sekolah Cina dan isu pemakaian songkok di Universiti Teknologi Malaysia. Selain itu Datuk Lim Liong Sik, Presiden MCA, telah memperkecilkan Pemuda UMNO dengan mengatakan bahawa Pergerakan itu adalah seperti anjing menyalak bukit. Terdapat juga pemimpin MCA yang menyatakan parti Cina lebih kuat daripada UMNO kerana menurut mereka masyarakat Cina berjumlah lima juta orang berbanding ahli-ahli UMNO hanya 1.5 juta orang.
Kenyataan-kenyataan yang dibuat ini seolah-olah mencabar ketuanan Melayu di tanah airnya sendiri telah mendapat reaksi daripada Pemuda yang merupakan sayap kanan kepada badan induknya. Datuk Seri Najib berserta dengan barisan Exco Pemuda telah mengusahakan satu perhimpunan raksasa Pemuda yang bertujuan mendesak kerajaan supaya tidak tunduk terhadap desakan daripada golongan yang sengaja mencari peluang untuk menimbulkan kekacauan.
Perhimpunan itu juga adalah untuk menunjukkan kepada mereka yang cuba mencabar ketuanan Melayu bahawa Pemuda akan sentiasa berdiri teguh di belakang badan induknya dalam mempertahankan hal-hal orang Melayu. Pada 17 Oktober 1987, kira-kira 20,000 pemuda Melayu telah berkumpul di Padang TPCA, Kuala Lumpur, untuk menyatakan bantahan terhadap kelantangan bukan Melayu terhadap isu peribumi. Dengan penuh semangat,Pemuda telah menyanyikan lagu Barisan Kita untuk menunjukkan kesepaduan mereka dalam menghadapi isu tersebut. Pada ketika itu, tiada sesiapapun yang menyangka Datuk Seri Najib bersama barisan Exco Pemuda begitu lantang dan berani menyuarakan pandangan secara terbuka.
Perhimpunan yang diadakan itu juga bertujuan untuk mengingatkan pemimpin MCA dan lain-lain pertubuhan Cina agar tidak membangkitkan isu yang boleh mengguris hati orang Melayu. Seminggu selepas perhimpunan tersebut, kerajaan telah mengadakan Operasi Lalang menangkap 111 orang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Antara mereka yang ditangkap termasuklah Setiausaha Agung DAP, Lee Kit Siang; Ahli Parlimen DAP Kota Melaka, Lim Guan Eng; Presiden Aliran, Dr Chandra Muzaffar; Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh; Ahli jawatankuasa Kerja DAP, Hu Sepang; Timbalan Setiausaha Agung 11 DAP, P.Patto; Ahli Parlimen Damansara, V.David; Timbalan Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Chan Tse Yuen dan beberapa orang lain. Tiga Exco Pemuda Malaysia turut ditahan. Mereka ialah Tajuddin Abd.Rahman, Fahmi Ibrahim dan Ibrahim Ali. Selain itu, tiga buah akhbar telah turut ditarik permit KDNnya iaitu Akhbar Sin Chiew Jit Poh, The Star dan Watan kerana memainkan sentimen perkauman.
Kontroversi itu juga telah membawa kepada perlucutan gelaran Datuk daripada Lee Kim Sai oleh Sultan Selangor. Penyerahan gelaran itu berlaku pada 25 Oktober 1987. Lee Kim Sai telah mewakilkan Setiausaha Politiknya, Ong Tee Kiat bersama Alex Chong selaku Setiausaha Akhbar dan Setiausaha Eksekutif MCA Selangor, Tan Beng Huat menyerahkan bintang-bintang itu kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Taib. Dua bintang yang diserahkan semula ialah Darjah Paduka Mahkota Selangor (DPMS) yang membawa gelaran Datuk dan Bintang Setia Mahkota Selangor (SMS).
6: Pemuda Era Wawasan
- Falsafah Perjuangan Dan Kepemimpinan Pemuda
- Cabaran dan Pengisian Wawasan
- Pemuda Berwawasan Pemuda Berkhidmat
Falsafah Perjuangan Dan Kepemimpinan Pemuda
Malaysia, kini sedang melangkah ke era wawasan yang hangat memperkatakan tentang pembangunan negara dan bangsa untuk mencapai taraf sebuah negara maju dan memiliki teknologi tinggi. Wawasan 2020 merupakan satu gerakan kebangsaan yang bukanlah perkara baru, cuma cetusannya dibuat begitu ghairah supaya dapat menyedarkan orang-orang Melayu yang masih bermimpikan zaman kesultanan Melaka dan sekali gus membangkitkan semangat kita untuk bertindak dengan tekad ke arah satu matlamat dan tujuan. Wawasan 2020 menuntut rakyat Malaysia mempunyai semangat untuk berdaya maju dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian dan pertanian berteknologi tinggi menurut acuan kita sendiri, setelah mencontohi beberapa rahsia kejayaan sama ada dari negara barat atau timur.
Persoalannya adakah Wawasan 2020 yang menjadikan gagasan kepada kita semua yang luhur dan murni ini akan tercapai. Perkara ini hanya dapat ditentukan seandainya para pemimpin negara mempunyai tindakan dan strategi yang tersusun dalam semua bidang politik, ekonomi dan sosial selaras dengan kemajuan semasa. Sementara itu pula masyarakat Malaysia harus menerima dengan insaf penerapan wawasan tersebut atas kesedaran untuk membina bangsa Malaysia yang unggul di mata dunia.
Soal tercapai atau tidaknya cetusan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad ini amat bergantung kepada teraju dan tindakan pemimpin-pemimpin yang mempunyai kuasa menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan. Maka itu, pemimpin-pemimpin yang berkhidmat untuk masyarakat perlulah lebih kreatif dan inovatif serta memberi prioriti terhadap dasar kepemimpinan negara Malaysia.
Sehingga kini, terlalu banyak seminar dan perbincangan telah diadakan yang mengaitkan pencapaian Wawasan 2020. Usaha sebegini merupakan petanda baik bahawa semua masyarakat cuba disedarkan tentang betapa perlunya penghayatan bersepadu akan gagasan tersebut. Yang pentingnya, dengan penghayatan tersebut adalah diharapkan agar para pemimpin dari segenap peringkat dan rakyat mempunyai semangat rajin bekerja, berdisiplin dan sanggup berkorban demi melahirkan sebuah negara dan bangsa yang dihormati oleh dunia.
Sejarah yang tidak pernah berbohong telah memperlihatkan kebenaran yang telah berlaku. Contoh yang paling nyata adalah seperti negara Jepun yang mencapai kemajuan pada awal abad ke 20 kerana masyarakatnya memiliki semangat disiplin, kesetiaan dan kejujuran yang unggul. Pada hari ini semua negara di dunia mengenali Jepun kerana berjaya menjadi sebuah negara maju di samping mampu mengekalkan ciri-ciri kebudayaan tradisinya seperti amalan menundukkan kepada tanda hormat apabila bertemu tetamu dan bertutur bahasa Jepun dalam apa aktiviti sekalipun. Ini adalah perkara yang amat membanggakan.
Kini, Malaysia yang telah mencapai kemerdekaan selama 36 tahun dan UMNO yang memasuki 47 tahun perlulah meneruskan contoh-contoh kepemimpinan parti yang terbaik untuk mempengaruhi dan meningkatkan kestabilan politik, ekonomi dan sosial. Justeru itu, pemimpin-pemimpin Pemuda yang bakal menggantikan pucuk pimpinan parti apabila sampai masanya perlu menyambut dan menerima tugas dengan serius dan penuh tanggungjawab untuk kesejahteraan bangsa Melayu khasnya dan Malaysia amnya. Menjadi pemimpin untuk mendapatkan kedudukan, kejayaan, pangkat bukanlah pegangan pemimpin sejati bahkan jauh sekali dari falsafah kepimpinan UMNO. Jika perasaan ini kedapatan di sanubari ahli-ahli UMNO wajarlah ia dihukum-matikan agar tidak menjadi barah yang bisa melumpuhkan kestabilan UMNO.
Sekiranya perasaan ini tidak disekat di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO nescaya bangsa Melayu tidak akan dapat duduk sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain di dunia. Negara yang diingini oleh Datuk Seri Dr Mahathir bukan sahaja sekadar rakyatnya hidup mewah dan aman, kaya dengan wang ringgit tetapi kaya dan tebal dari segi keimanan. Jika rakyat Malaysia kaya dari segi fizikal dan rohaninya, secara langsung kepemimpinan negara akan tenang menghadapi cabaran-cabaran dengan kekuatannya yang tersendiri. Penekanan Perdana Menteri supaya pemimpin-pemimpin UMNO memiliki kekuatan iman dan ilmu-ilmu yang mencukupi segala bidang memang tepat. Kombinasi ini perlu untuk mengelakkan lahirnya bangsa yang serakah, tidak menikam kawan dari belakang dan menjadi duri dalam daging yang akan merugikan seluruh umat Melayu.
Sesebuah negara itu tidak akan maju jika para pemimpinnya tidak mempunyai cita-cita yang dinamik dan berjiwa besar dengan idea yang jelas untuk memajukan pembangunan secara menyeluruh bagi faedah semua lapisan rakyat dan negara. Bagi menampilkan bangsa Melayu untuk lebih dihormati dan disegani oleh bangsa-bangsa asing, adalah menjadi kewajipan para pemimpin Pemuda untuk meneruskan usaha pemimpin-pemimpin masa lalu untuk melengkapkan diri bagi menjadi pemimpin politik yang dikagumi dan disanjungi kerana mempunyai wawasan yang jelas untuk kecemerlangan kepemimpinan demi untuk membangunkan negara tercinta. Demi untuk mencapai cita-cita murni ini adalah amat penting bagi kita untuk mempunyai pemimpin yang benar-benar terpilih di kalangan yang terpilih dan cemerlang di kalangan yang terbilang.
Negara dan generasi akan datang akan musnah, kucar-kacir jika nakhodanya tidak kecukupan idea, keimanan, ilmu, keadilan dan keberanian dalam memimpin negara yang mempunyai berbagai lapisan kaum dan budaya. Tambahan pula bidang politik merupakan satu kerjaya yang menuntut mereka mempunyai ketegasan, bercita-cita tinggi dan mahir dalam segala lapangan. Oleh itu pemimpin-pemimpin Melayu tahun 2020 perlulah pandai menari zapin dengan tangkas, cekap, cepat dan bergaya dalam memimpin negara. Pemimpin mesti tegas secara teori dan praktikalnya supaya orang-orang (bagi kalangan pemimpin yang suka memfitnah, menikam dari belakang dan lompat melompat) tidak mudah mengambil kesempatan menangguk di air yang keruh. Ini perlu untuk dihayati oleh pemimpin supaya mereka muncul sebagai pemimpin yang mempunyai kemahiran sebelum di amanah memimpin satu bangsa yang bermaruah, maju dan disanjungi oleh masyarakat kemudian.
Cabaran-cabaran bagi membangunkan sebuah negara yang sedang membangun seperti Malaysia bukanlah satu tugas yang mudah. Imej dan kehormatan UMNO akan dapat dikekalkan sekiranya UMNO dapat menangani isu-isu semasa dan mendatang dengan tenang dan bijaksana. Negara Malaysia yang dibangunkan oleh masyarakat berbilang kaum, budaya dan agama pasti memunculkan berbagai masalah yang cukup mencabar. Oleh itu hanya pemimpin yang mempunyai kekuatan urat besi dan berakalkan kancil adalah berwibawa untuk memastikan keharmonian dan kestabilan negara Malaysia dapat dikekalkan buat selama-lamanya. Akan tetapi jika para pemimpin bersandarkan kekuatan kekayaan dan kekuatan lahiriah semata, tentunya idea Wawasan 2020 akan menjadi impian kosong dan sindiran generasi mendatang. Oleh yang demikian para pemimpin UMNO perlu memberi perhatian terhadap falsafah-falsafah berikut untuk menghadapi cabaran-cabaran yang bakal mendatang.
Pertama, falsafah kepimpinan yang perlu diambil ialah mengekalkan perpaduan di kalangan pemimpin Pemuda itu sendiri. Oleh yang demikian, wajar sekali para pemimpin Pemuda memastikan peristiwa perpecahan dan pengharaman UMNO pada tahun 1987 tidak berulang kembali. Budaya kepimpinan yang ikhlas, berkhidmat semata-mata kerana Allah, amanah, tidak rasuah, tidak membeli undi dan menjual undi perlu diberi perhatian. Lantaran itu para pemimpin pusat harus sedar dan bertindak supaya dapat membudayakan pemimpin pelapis dengan semangat syura di dalam kepimpinan negara. Sebarang pendekatan di dalam proses pemilihan kepimpinan perlulah tidak menyimpang dari semangat keislaman sebagai asas perpaduan dan kestabilan parti politik UMNO masa depan. Persoalannya jika perpaduan tidak dapat digarap, kecelaruan akan timbul di kalangan ahli-ahli UMNO untuk mencari pemimpin yang ideal.
Apabila prasangka telah mengambil tempat, kekuatan parti akan menjadi lemah dan mudahlah musuh menembusinya. Menginsafi malapetaka yang mungkin terjadi pada ahli-ahli UMNO masa kini, para pemimpin perlulah menoleh ke belakang, menghayati sejarah perjuangan UMNO yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946, mengamati dan menganalisis secara penuh sedar. Hanya dengan adanya misi dan visi, strategi dan teknologi demi masa depan yang jelas, UMNO dapat bertahan lama. Perbezaan pendapat dan simpang siur aliran bukan bermakna jalan perpecahan tetapi merupakan satu petanda bahawa ada sesuatu yang tidak kena yang perlu dibaiki segera. Pemimpin yang mengambil jalan perpisahan sebagai penyelesaian muktamad bukanlah pemimpin yang ikhlas tetapi merupakan pemimpin yang mementingkan diri sendiri.
Kedua, para pemimpin Pemuda dan ahli-ahli parti hendaklah menanamkan kesetiaan dan kejujuran dalam perjuangan membangunkan negara. Ketiadaan kedua-dua amalan ini akan membawa dan mengakibatkan kelemahan pada kekuatan UMNO. Hadis-hadis Rasulullah (S.A.W) banyak meriwayatkan bahawa pentingnya nilai kejujuran ditanamkan dalam diri manusia. Agama Islam itu adalah kejujuran. Dengan itu., pemimpin yang tidak amanah bukan sahaja dinafikan oleh masyarakat tetapi juga oleh agamanya. Sekali gus tidak layak menjadi khalifah di dunia. Kerana itu demi keselesaan politik UMNO amatlah perlu mereka memiliki kesetiaan. Mereka patut menyumbangkan idea-idea yang bernas, membimbing masyarakat dengan ikhlas, sedia berkorban, berlapang dada dan mengutamakan perpaduan parti daripada mempersoalkan kerusi, nama atau kuasa. Kesetiaan perlu dibuktikan bukan menjadi jaguh untuk menimbulkan percaturan dan persaingan akibat proses pelantikan jawatan, perlaksanaan pembangunan dan pembahagian kuasa. Oleh itu, ahli-ahli UMNO mestilah bersatu dalam apa keadaan sekalipun menghadapi cabaran-cabaran masa kini dan hadapan yang bakal dihadapi.
Ketiga, kemajuan sesebuah parti tidak akan dapat dibina secara kukuh dan mantap apabila setiap ahli-ahlinya tidak terdidik dalam melaksanakan tugas dengan berdisiplin. Sekiranya faktor ini diabaikan ataupun dipandang remeh, lambat laun, keutuhan parti dan negara akan runtuh. Sejarah telah membuktikan empayar-empayar agung di dunia seperti di China, India dan Kepulauan Nusantara dapat diambil oleh orang luar kerana tidak mengamalkan disiplin kepemimpinan. Ketiadaan sifat disiplin boleh membawa kepada keruntuhan moral kerana tidak rasa kesetiaan yang luhur. Fitnah memfitnah, lompat melompat dan tikam menikam malah menjadikan politik sebagai batu loncatan untuk kepentingan sendiri adalah menjadi dasar perjuangan kepada pemimpin yang tidak mempunyai kesetiaan yang luhur. Apabila cita-cita mereka tidak tercapai, perasaan kecewa akan menyelubungi, lalu pada masa inilah masa yang baik bagi pihak musuh menaburkan benih kebencian kepada pemimpin atasan di hati pemimpin yang kecewa tadi. Oleh itu UMNO perlulah memastikan bakal-bakal pemimpinnya tidak memiliki sifat-sifat ini termasuk juga para penyokongnya. Para pemimpin Pemuda UMNO hendaklah memiliki kekuatan disiplin semasa menjalankan tugas-tugas mereka kerana kejayaan hidup banyak bergantung kepada peraturan disiplin. Lihat saja Korea dan Jepun yang menjadi kebanggaan bagi negara sebelah timur, sebelumnya tidak dihiraukan oleh barat tetapi telah menjadi maju kerana pemimpinnya mempunyai sikap disiplin yang tinggi bukan sahaja kerana mereka rajin bekerja tetapi juga rajin menimba ilmu untuk memajukan bangsa dan negara tercinta.
Pembinaan bangsa Melayu yang baru memerlukan pemimpin yang tidak rakus, menipu dan mengampu untuk mencari penghormatan dan keselesaan hidup sahaja. Pemimpin yang dikehendaki oleh UMNO masa depan hendaklah yang berbudi bahasa, tahu mengenang budi orang-orang lama dan bersabar ketika menghadapi cubaan. Ertinya pemimpin-pemimpin Pemuda UMNO mestilah memiliki personaliti yang baik, kental, bersih dan tegas. Kehidupan masa lalu yang bersih dapat mengelakkan daripada dilontarkan dengan pelbagai tohmahan yang boleh menjatuhkan imej pemimpin tersebut sekali gus menggelapkan masa depan politiknya.
Keempat, bagi mencapai matlamat Wawasan 2020 pemimpin-pemimpin Pemuda dan ahli-ahlinya perlu memiliki konsep kesedaran masa atau nilai waktu. Apabila pemimpin-pemimpin Pemuda mempunyai kesedaran tentang pentingnya ketepatan waktu yang dianjurkan oleh Islam, mereka berjanji dengan tepat, tidak menangguhkan sebarang pekerjaan terutamanya dalam menjayakan aktiviti ekonomi dan pembangunan negara. Jika Wawasan telah mencanangkan tahun 2020 sebagai target kedewasaan Malaysia, jangan katakan tidak tetapi mestilah katakan boleh. Seiring dengan itu pemimpin UMNO sewajarnya melangkah dengan lebih gagah ke arah satu matlamat dan tujuan agar dapat menyambung dan meneruskan cita-cita kita.
Oleh itu, pemimpin UMNO mestilah menunjukkan kesanggupan agar tidak menjadi bahan ketawa atas kegagalan dan akhirnya akan dipersendakan oleh anak bangsa. Negara Jepun melancarkan program perindustrian beratnya pada tahun 1890an dan pada awal 1910an telah nampak kejayaan hasil programnya. Lebih kurang hanya 20 tahun mereka mencapai wawasan ke arah perindustrian dan akhirnya berjaya.
Perkara kelima dan terakhir yang sepatutnya diamalkan oleh para pemimpin Pemuda ialah pemikiran yang kritis, terbuka, kreatif dan bersifat toleransi. Dalam proses pendewasaan, para pemimpin yang bercita-cita untuk menjadi pejuang wajarlah dapat berperanan secara efektif dan jujur, serta sanggup juga menerima teguran demi kebaikan dan keselamatan parti. Selaku pemimpin yang menjadi penerus kepada kepemimpinan negara, pemuda harus bertindak sebagai pembela rakyat dan juru bicara rakyat kepada pimpinan atasnya.
Tradisi dan budaya berfikir terbuka ini sepatutnya menjadi jambatan untuk mencapai keselamatan parti dan negara amnya. Ini merupakan cabaran asas yang perlu dilaksanakan oleh pemimpin-pemimpin Pemuda untuk menampakkan kemampuan bertindak di atas kebenaran walaupun tidak popular yang jelasnya, kefahaman kepimpinan yang benar sahaja dapat mengubah status dan imej parti dan negara.
Kelima-lima faktor di atas tidak akan memberi sebarang makna dan tidak akan berjaya selagi mentaliti pemimpin-pemimpin Pemuda tidak menerimanya. Oleh itu, jika UMNO mahu tetap memerintah negara ini, sifat-sifat ini perlu dihayati secara ikhlas. Pemimpin-pemimpin itu adalah pendidik, jika benar didikan itu maka negara dapat rahmat, aman dan damai seperti yang dicitakan.